Isnin, 5 Disember 2011

MB Perak ke atau Ketua UMNO Negeri Perak BERBOHOONG?

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak terkejut dengan penjelasan Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir di dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak baru-baru ini ketika menjawab persoalan berkaitan dengan ruang pekerjaaan di Negeri Perak yang telah diusahakan oleh PUSAT Kerjaya Amanjaya (PEKA) di bawah kendalian Institut Darul Ridzuan (IDR) yang bercanggah dengan kenyataan awal Ketua Pergerakan Pemuda Umno Negeri Perak, Khairul Azwan Dato’ Harun melalui penganjuran bersama atas nama “Karnival Pekerjaan dan Karier Perak Amanjaya” pada awal Oktober yang lalu.


Datuk Seri Zambry ketika menjawab soalan lisan berkaitan usaha Kerajaan Negeri Perak bagi mendapatkan ruang pekerjaan kepada golongan belia di Perak hanya memaklumkan sekitar 2 ribu orang sahaja telah berjaya mendapatkan pekerjaan melalui PEKA. Tetapi melihat kepada beberapa kenyataan daripada Khairul Azwan semasa penganjuran karnival tersebut amat bercanggah dengan jumlah sebenar peluang pekerjaan yang telah ditawarkan. Beberapa jumlah telah dinyatakan oleh Khairul Azwan bermula dengan jumlah 5 ribu, 8 ribu hinggalah ke pada jumlah 17 ribu peluang pekerjaan yang telah ditawarkan melalui program tersebut.

Apa yang kami amat sedih, kenapa seorang pimpinan utama Umno dan Barisan Nasional (BN) Negeri Perak serta Parti tulang belakang sebuah kerajaan negeri telah menyatakan perkara tidak benar di dalam perkara ini? Kenapa perlu berbohong kepada anak muda yang sedang mencari peluang pekerjaan yang selama ini membelenggu pemikiran mereka? Bagi kami, sudah tentu Pemuda Umno sedar bahawa kini hampir lebih 29 ribu orang menjadi penganggur di Perak iaitu bersamaan 3.2 peratus jumlah pengangguran di negara kita tahun ini. Persoalannya, siapa yang telah berbohong kepada anak muda di dalam program karnival baru-baru ini?

Kami kesal dengan sikap tidak jujur Khairul Azwan di dalam memastikan anak muda yang ingin mencari peluang pekerjaan telah dipolitikkan demi kepentingan Umno / BN semata-mata. Kami ingin Khairul Azwan mengambil pertanggungjawaban dalam setiap kenyataan yang telah dikeluarkan dan memohon maaf secara terbuka kepada rakyat negeri Perak kerana mempermainkan perasaan dan harapan mereka. Kami yakin anak muda negeri Perak akan menolak Umno / BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13 nanti!




SALMAN HAJI SALEH
Setiausaha,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.