Sabtu, 24 Disember 2011

Gempar!! Pengerusi Harakah Akan Di Pecat?

DARI TRANUNGKITE

  Oleh Addin


Addin bukanlah salah seorang pembaca Harakah yang tegar... lama jugak dah tak beli. Tambahan pulak, blogger seperti Addin ni selalu mengadap laptop. Lebih baik cari info dalam internet, lagi jimat, cepat dan mudah... itulah hakikatnya.

Isu yang di timbulkan oleh blogger Suara Pakatan Rakyat amat signifikan buat masa ini, tambah-tambah lagi dekat PRU 13. Media PR perlu diperteguhkan. Apa sebabnya berlaku situasi ini? Satu persoalan yang kita harus kongsi bersama.


Kepesatan teknologi maklumat sekarang menyebabkan ramai orang mencari maklumat yang "on time'. Sudah pasti internet lah jawapannya. Tetapi sekiranya maklumatnya tidak tepat dan samar-samar ketepatannya, pengunjung mungkin beralih arah. Dan ini yang terjadi kepada Harakah.


Maklumatnya agak kurang tepat dan bersifat rambang. Portal mesra Pakatan Rakyat seperti Malaysiakini dan Malaysian Insider lebih mendapat tempat. Lihat ranking alexa web Harakah di sini dan bandingkan ranking Malaysiakini di sini dan Malaysian Insider di sini.

Dan ini juga berlaku pada jualan akhbar Harakah, dengan ramai pembaca beralih arah ke portal online yang merudumkan jualan akhbar penting arus perdana seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan sebagainya. Di tambah pula dengan akhbar Harakah yang hanya di terbitkan 2 minggu sekali serta terpaksa berperang dengan maklumat yang samar-samar serta rambang.

Kemelut Harakah harus di tangani segera oleh pimpinan PAS.. pengerusi Harakah harus di pecat, kembalikan kegemilangan Harakah. Jangan dah gulung tikar baru nak bertindak.. maka pada itu nasi sudah menjadi bubur.
(Pengerusi Harakah ialah Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS)
Artikel yang dirujuk adalah ---> Sila klik

Saya tarik balik kritik Negara Berkebajikan - Hasan Ali

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 24 Dis: Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali hari ini mengakui kesilapannya mengkritik pendekatan Negara Berkebajikan yang mahu dibawa PAS seperti diputuskan dalam Muktamar tahunan parti itu Jun lalu.

Ekoran itu juga, beliau yang juga exco kerajaan Selangor pada satu sidang media di kediamannya hari ini menarik balik kritikannya itu dan memohon maaf kepada pimpinan dan ahli parti.

“Sebagai ahli PAS dan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat, saya mengakui terdapat unsur keterlanjuran saya waktu membuat ulasan mengenai perkara itu. Dengan ini saya menarik balik komen mengenai Negara Berkebajikan tersebut.

“Saya memohon maaf kepada saf kepimpinan dan ahli-ahli parti terhadap keterlanjuran saya itu,” katanya pada sidang media di kediamannya di sini.

Sebelum ini pada satu sidang medianya juga, beliau mendakwa perjuangan PAS sudah menyimpang apabila mengangkat Negara Berkebajikan berbanding Negara Islam sejak sekian lama.

Sehubungan itu beliau menolak konsep Negara Berkebajikan dan mendesak parti itu kembali kepada matlamat asal menubuhkan sebuah negara Islam.

Mengakui ulasannya sebelum ini sebagai terlanjur kata, Hassan hari ini juga menyatakan pendirian bahawa beliau bersetuju dengan konsep Negara Berkebajikan yang diperjuang PAS kerana sebahagian dari initipati dan matlamat ke arah menubuhkan sebuah negara Islam.

“Saya sebagai ahli dan pimpinan, saya menyetujui apa yang dikemukakan dan pada masa sama saya melihat pengisian Negara Berkebajikan sama seperti negara Islam yang dikemukakan parti sebelum ini.

“Kemungkinan besar sama apa yang ada dalam konteks negara Islam dengan Negara Berkebajikan,” katanya.

Sementara itu, Hasan juga berkata beliau bersedia bertemu kepimpinan parti bila-bila masa bagi merungkai permasalahan yang timbul yang turut mengaitkan dirinya.