Khamis, 8 Mac 2012

Pakatan umum pendirian bubar DUN 13 Mac

Lim Guan Eng
MELAKA - Pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat (PR) akan membuat satu ketetapan pada Selasa ini sama ada untuk mengadakan pilihan raya serentak bagi negeri-negeri yang diperintah mereka, jika pilihan raya umum diadakan nanti.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, ketetapan mengenainya akan dibuat pada mesyuarat yang akan diadakan di Kuala Lumpur.
Petanda pilihan raya umum akan datang "sudah dekat" berikutan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pelarasan gaji bagi 1.3 juta penjawat awam hari ini, katanya kepada pemberita selepas menghadiri penutupan Forum Ketua Menteri dan Gabenor Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Thailand-Malaysia (IMT-GT) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Azizan sembah nama 2 Exco kepada Sultan Kedah

8 Mac 2012
Datuk Seri Azizan Abdul Razak
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak hari ini mempersembahkan nama dua exco yang terbabit dalam kemelut pentadbiran kerajaan negeri kepada Sultan Kedah, untuk dipertimbangkan dilantik semula ke jawatan itu.
Azizan dilihat memasuki Istana Anak Bukit di sini pada pukul 4.50 petang sebelum keluar semula hampir sejam kemudian.
Ketika ditemui pemberita di luar pekarangan istana dan ditanya sama ada nama terbabit sudah mendapat perkenan tuanku, beliau berkata: "Sultan akan perkenan kemudian... ambil masa sikit."
Mengenai tarikh angkat sumpah kedua-dua exco berkenaan, beliau berkata, pihaknya akan menunggu perkenan Sultan sebelum menetapkan majlis kerana perkara itu bergantung kepada kelapangan baginda.
Pada 28 Februari lepas, hanya lapan daripada 10 exco mengangkat sumpah bagi pelantikan semula jawatan, manakala Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh tidak disenaraikan untuk berbuat demikian.
Tempoh khidmat mereka tamat secara rasmi semalam.
Ketika ditemui pemberita pada hari mengangkat sumpah itu, Phahrolrazi yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kedah berkata, beliau enggan dilantik semula kerana mempunyai perbezaan pendapat yang 'kritikal' dengan Azizan dalam soal
pentadbiran kerajaan negeri.
Bagaimanapun pada 5 Mac lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat di Kuala Lumpur mengarahkan kedua-dua exco berkenaan menerima semula pelantikan sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah. - Bernama