Ahad, 18 September 2011

Sekitar Jamuan Hari Raya Yayasan Amal Malaysia Caw. Parit

Dengan Dr. Faizol Fadzli sendiri mengalu-alukan kedatangan tetamu, majlis serupa ini adalah pertama kali di adakan.
Majlis dijalankan di perkarangan Klinik Dr. Faizol di Taman Bandar Universiti Seri Iskandar. Majlis berjalan dalam keadaan sederhana tetapi meriah dan penuh mesra. Dr. Faizol begitu sibuk melayan tetamu dan beliau sendiri mengangkat hidangan untuk para tetamu.

Keredhaan Allah Matlamat Perjuangan Pas .

Ahad, 18 September 2011 16:05 Webmaster DUPP
Ahli PAS diingatkan agar berjuang dalam Islam kerana Allah Taala dan bukan bermatlamatkan menjadi calon dalam pilihanraya. Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat, YB. Dato’ Tuan Guru Haji Harun Taib (gambar) berkata demikian ketika merasmikan Ijtima’ Pilihanraya PAS Kawasan Marang, di Masjid Rusila, 16 September lalu. Katanya, Orang yang berjuang Islam mesti sanggup melakukan pengorbanan apa sahaja dalam keadaan murah atau mahal. “Kita dalam PAS ini kena berjuang kerana Allah SWT dan bukan kerana hendak jadi calon. Kita kena sanggup berkorban dengan apa sahaja baik dalam keadaan murah atau mahal,” tegasnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manir mahukan agar ahli PAS tetapkan pendirian dalam menghadapi perjuangan tersebut. Selain itu, katanya gerak kerja secara berorganisasi dan tersusun juga boleh membantu kemenangan parti. “Dalam kita (PAS) menghadapi musuh. Musuh pilihanraya kita, musuh politik kita dan musuh dalam perjuangan kita ini. Kita kena tetap pendirian dalam apa keadaan sekali pun menghadapi perjuangan". “Kena ingat kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya. Selain itu, kerja dengan cara berorganisasi yang tersusun akan membantu mempercepatkan kemenangan PAS,” ujarnya. Beliau berkata dalam keadaan sekarang musuh-musuh Islam lebih ramai dan ‘senjata’ mereka lebih canggih. Tetapi, katanya musuh-musuh Islam banyak melakukan maksiat serta kezaliman yang tidak wajar dilakukan oleh pejuang Islam. “Musuh lebih ramai dari kita, ‘senjata’ (propaganda) musuh lebih canggih dari kita tetapi musuh melakukan maksiat". “Kita (PAS) jangan melakukan maksiat seperti musuh. Jangan langgar perintah Allah SWT. Khususnya dalam menghadapi musuh,” ujarnya. Hadir sama pada majlis tersebut Yang Dipertua PAS Marang, Yahaya Ali, Timbalan Yang Dipertua PAS Marang, Ahmad Ma’aruf Ismail dan Setiausaha PAS Marang, Hasan Jusoh. Sumber: www.buletinonline.net .

Tauliah pada ahli politik, Hasan Ali bincang dengan MAIS

Abdul Rahim Sabri MALAYSIAKINI Sep 17, 11
Exco Agama Selangor Datuk Dr Hasan Ali berkata beliau akan berbincang dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berhubung pemberian tauliah kepada ahli politik. Katanya, ini kerana bukan semua ahli politik berceramah atau memberi kuliah di masjid atau surau "bersyarah tentang parti politik". "Saya tahu, Datuk Dr Harun Din, Datuk Ismail Kamus sudah berpuluh-puluh tahun berdakwah, tidak sedikitpun menyentuh mana-mana parti politik, atau mempolitikkan majlis yang dikhususkan kepada mereka," katanya dalam sidang media di kediamannya hari ini. Malah, katanya, ada sesetengah daripada mereka yang memberi ceramah mengenai tafsir al-Quran, mengenai tajwid atau akidah Islam yang mempunyai "akar umbinya" tersendiri. "Kadang-kadang mereka bersyarah dengan bertalaqqi, ertinya berguru dan berkitab, dengan guru yang ditetapkan, yang diadakan setiap minggu, setiap bulan. "Kalau kita potong ini atas dasar dia ahli politik, maka sudah tentulah akan menimbulkan kegusaran masyarakat. "Sebagaimana yang kita tahu, Islam semakin dipinggirkan. Dengan kita meniadakan orang-orang yang jujur, ikhlas bekerja dengan Allah SWT, kita rasa gersanglah Islam di Selangor ini," katanya. Sehubungan itu, beliau akan bertemu dengan Pengarah MAIS, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa untuk membincangkan cadangan beliau itu sebelum ia dimajukan kepada pihak Istana untuk mempertimbangkan. Beberapa hari lalu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Marzuki Hussein berkata pihaknya tidak akan dilanjutkan tempoh pemberian tauliah mengajar Islam di masjid atau surau kepada ahli politik. Bahkan sebelum itu, MAIS juga mengeluarkan arahan tidak membenarkan ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad memberi kuliah selaras dengan perkenan Tuanku Sultan Selangor yang tidak mahu mana-mana ahli politik berceramah di masjid dan surau di negeri itu. Mengulas lanjut, Hasan yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat berkata, pada dasarnya beliau bersetuju dengan cadangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu. "Pada umumnya, saya menyokong tindakan untuk tidak mempolitikkan institusi masjid dan surau. "Mempolitikkan ertinya mempolitikkan parti... Itu saya tidak setuju kerana akan menimbulkan masalah. "Jika dibiarkan akan pecah belahkan masyarakat," katanya. Mengulas mengenai penyiasatan JAIS terhadap gereja Mothodist Damansara Utama (DUMC), Hasan berkata beliau diberitahu "kemungkinan" laporan siasatan penuh telah dihantar kepada Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim yang baru pulang daripada Jerman. Katanya lagi, menteri besar akan meneliti laporan tersebut dan mungkin akan dibawa dalam mesyuarat exco sebelum dimajukan kepada Istana untuk pertimbangan. "Apapun, saya masih bertegas dalam hal-hal (mengenai) kristianisasi atau (penyebaran) dakyah Kristian terhadap orang Islam. "Saya akan berada di barisan hadapan untuk pertahankan kesucian Islam dan akidah umatnya," katanya. Sehingga kini larangan menutup mulut bagi mengulas pemeriksaan JAIS itu masih lagi berkuatkuasa dan beliau enggan mengulas lanjut berhubung perkara tersebut.