Ahad, 18 September 2011

Keredhaan Allah Matlamat Perjuangan Pas .

Ahad, 18 September 2011 16:05 Webmaster DUPP
Ahli PAS diingatkan agar berjuang dalam Islam kerana Allah Taala dan bukan bermatlamatkan menjadi calon dalam pilihanraya. Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat, YB. Dato’ Tuan Guru Haji Harun Taib (gambar) berkata demikian ketika merasmikan Ijtima’ Pilihanraya PAS Kawasan Marang, di Masjid Rusila, 16 September lalu. Katanya, Orang yang berjuang Islam mesti sanggup melakukan pengorbanan apa sahaja dalam keadaan murah atau mahal. “Kita dalam PAS ini kena berjuang kerana Allah SWT dan bukan kerana hendak jadi calon. Kita kena sanggup berkorban dengan apa sahaja baik dalam keadaan murah atau mahal,” tegasnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manir mahukan agar ahli PAS tetapkan pendirian dalam menghadapi perjuangan tersebut. Selain itu, katanya gerak kerja secara berorganisasi dan tersusun juga boleh membantu kemenangan parti. “Dalam kita (PAS) menghadapi musuh. Musuh pilihanraya kita, musuh politik kita dan musuh dalam perjuangan kita ini. Kita kena tetap pendirian dalam apa keadaan sekali pun menghadapi perjuangan". “Kena ingat kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya. Selain itu, kerja dengan cara berorganisasi yang tersusun akan membantu mempercepatkan kemenangan PAS,” ujarnya. Beliau berkata dalam keadaan sekarang musuh-musuh Islam lebih ramai dan ‘senjata’ mereka lebih canggih. Tetapi, katanya musuh-musuh Islam banyak melakukan maksiat serta kezaliman yang tidak wajar dilakukan oleh pejuang Islam. “Musuh lebih ramai dari kita, ‘senjata’ (propaganda) musuh lebih canggih dari kita tetapi musuh melakukan maksiat". “Kita (PAS) jangan melakukan maksiat seperti musuh. Jangan langgar perintah Allah SWT. Khususnya dalam menghadapi musuh,” ujarnya. Hadir sama pada majlis tersebut Yang Dipertua PAS Marang, Yahaya Ali, Timbalan Yang Dipertua PAS Marang, Ahmad Ma’aruf Ismail dan Setiausaha PAS Marang, Hasan Jusoh. Sumber: www.buletinonline.net .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan