Lim Guan Eng
MELAKA - Pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat (PR) akan membuat satu ketetapan pada Selasa ini sama ada untuk mengadakan pilihan raya serentak bagi negeri-negeri yang diperintah mereka, jika pilihan raya umum diadakan nanti.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, ketetapan mengenainya akan dibuat pada mesyuarat yang akan diadakan di Kuala Lumpur.
Petanda pilihan raya umum akan datang "sudah dekat" berikutan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pelarasan gaji bagi 1.3 juta penjawat awam hari ini, katanya kepada pemberita selepas menghadiri penutupan Forum Ketua Menteri dan Gabenor Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Thailand-Malaysia (IMT-GT) di sebuah hotel di sini, hari ini.

"Ini adalah satu petanda pilihan raya (umum ke-13) sudah dekat, kemungkinan selepas pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada 12 April depan atau mungkin pada bulan Mei depan," katanya.
Sambil mengesahkan bahawa beliau akan terus bertanding di Pulau Pinang, Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, DAP akan terus bekerja keras mempertahan semua kerusi yang telah dimenangi.
Pada 17 November tahun lepas, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, DUN Selangor tidak akan dibubarkan pada awal tahun ini meskipun Kerajaan
Persekutuan bertindak membubarkan Parlimen dan hanya bersedia menyertai pilihan raya umum ke-13 jika ia diadakan selepas Jun 2012.
PR yang dianggotai PKR-DAP-PAS memerintah di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan selepas memenangi pilihan raya umum 2008.
Bernama