Malaysia ini bukan Negara monarki, tetapi Negara demokrasi. Dalam
demokrasi, perlaksanaan sesuatu undang-undang atau dasar, tertakluk
kepada suara majority. Tanpa mendapat sokongan ramai, ia melahirkan
penolakan. Makanya, kebaikan yang diimpi, tetapi keburukan yang
tercapai.
Kita tidak boleh sekadar berharap sesuatu impian yang
baik itu sekadar tercapai. Tetapi, lebih dari itu adalah, impian yang
baik itu kekal diamalkan. Inilah tuntutan agama Islam yang dibawa oleh
Nabi Muhammad SAW.
Oleh sebab itu, dalam kitab al-Muwafaqat
tulisan Imam As-Syatibi, dinukilkan tindakan Umar bin Abdul Aziz yang
tidak terus melaksanakan Islam secara total sejurus mengambil tampuk
pemerintahan. Apabila Abdul Malik yang merupakan anak kesayangannya
bertanya tentang hal itu, beliau menjawab;
“Jangan kamu gopoh
wahai anakku. Sesungguhnya Allah cela arak dalam al-Quran sebanyak dua
kali, dan mengharamkannya pada kali yang ketiga. Sesungguhnya aku
bimbang dilaksanakan kebenaran (Islam) secara total, menjadikan rakyat
menolaknya pula secara total. Ia merupakan fitnah”.
Umar menjawab
sebegitu, kerana Umar mementingkan kejayaan perlaksanaan islam itu
bersifat kekal, bukan sementara. Umar tidak berfikir untuk mencapai
sesuatu impian sahaja, tetapi Umar berfikir lebih dari itu, iaitu
bagaimana impian itu kekal diamalkan. Kebaikan pada Umar, bukan sekadar
impian, tetapi kejayaan perlaksanaan.
[2]
Dalam sejarah
Islam, diceritakan bahawa Saidina Umar al-Khattab pernah menangguhkan
perlaksanaan hukuman potong tangan yang merupakan salah satu hukum hudud
yang termaktub dalam al-Quran. Ditangguhkan kerana, ketika itu tertimpa
tahun kelaparan. Kelaparan merupakan syubhat, kerana dibimbangi
keadilan yang ingin dicapai, tetapi kezaliman yang terlaksana.
Melaksanakan
hukuman potong tangan terhadap pencuri adalah satu keadilan. Tetapi,
memotong tangan pencuri yang mencuri di kala tiada makanan, dan sang
pencuri mencuri itu pula dalam keadaan terpaksa, maka tindakan memotong
tangan pencuri itu merupakan kezaliman. Ekoran itu, Saidina Umar
menangguhkan perlaksanaan salah satu hukuman hudud tersebut.
Di
Malaysia, hukuman Hudud sudah menjadi buah mulut. Sejak 20 tahun dahulu,
Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah melontarkan idea ini, dan diteruskan
usaha ini dalam kerajaan PAS di Terengganu dahulu.
Namun,
kelemahannya adalah dari sudut penerangan kepada rakyat. lebih-lebih
lagi, propaganda UMNO/BN agak kuat menyebabkan hudud yang baik berjaya
diburukkan oleh UMNO/BN. Makanya, kerajaan PAS yang mempunyai hasrat
yang baik, tidak berjaya melaksanakan hasrat itu, malahan kalah dalam
PRU selepas itu.
Dilemma tidak memahami kebaikan hudud,
melahirkan problem yang cukup besar. Jika yang tidak memahami itu
sebilangan kecil rakyat, ia tidak memberi kesan yang buruk, tetapi jika
majority rakyat tidak memahaminya, perlaksanaan hudud melahirkan kesan
yang amat bahaya. Dibimbangi, hudud yang baik itu bakal dilihat buruk
oleh masyarakat. Jadi, ia tidak sepatutnya berlaku sama sekali.
[3]
PAS
berada dalam padang demokrasi, bukan padang monarki. Jika Kelantan itu
kerajaan beraja, dan PAS itu adalah rajanya, tidak menjadi sebarang
masalah terhadap perlaksanaan hudud dalam jangka masa ini. Tetapi, yang
PAS perlu fikirkan bahawa PAS berada dalam padang demokrasi. Ia
melibatkan suara majority rakyat dalam menentukan kejayaan perlaksanaan
hudud itu diterima dan terus diamalkan.
Tidak ada faedahnya hudud
hanya berjaya dilaksanakan dalam jangka 5 tahun sahaja, tetapi selepas
itu hudud dibuang oleh rakyat jauh ke laut. Tetapi yang paling baik
adalah, hudud dilengahkan selama 5 tahun, tetapi selepas 5 tahun hudud
itu diterima rakyat, dan berjaya dilaksanakan. Perlaksanaan itu
berterusan sehingga bumi ini dibinasakan oleh Allah.
Ekoran itu, tindakan yang perlu dilakukan (diletak target selama 5 tahun sahaja) adalah seperti berikut;
Pertama :
Gerakan
usaha memahamkan hudud lebih berkesan. Tidak sekadar berlingkar di
kawasan Kelantan sahaja, tetapi hendaklah penerangan itu meliputi
seluruh Malaysia. Bentuk penerangan itu seperti mengadakan seminar,
wacana, sebaran handbill dan sebagainya. PAS dan kerajaan PAS wajib
mengambil peranan ini.
Kedua :
Mewujudkan badan bukan
kerajaan (NGO) yang memfokuskan usaha memahamkan rakyat tentang hudud.
Golongan ini terdiri dari kalangan mereka yang berkepakaran tentang
hudud, dan mempunyai kebijaksanaan dalam menerangkan hudud dalam bentuk
yang cukup berhikmah.
Mereka yang terlibat dalam NGO ini,
hendaklah dilatih tentang cara dan pendekatan yang baik dalam mendepani
sasaran yang belum memahami tentang hudud, agar penyampaian kandungan
hudud kepada rakyat benar-benar memberi impak yang baik.
Ketiga :
Dianjurkan
Seminar dan wacana yang berkaitan dengan Hudud, dengan tidak boleh
diabaikan menjemput wakil-wakil parti selain PAS. Jika pihak PAS bentang
kertas kerja tentang hudud, maka diminta wakil dari DAP dan PKR
mengomentar kertas tersebut. Seperti kertas kerja dibentang oleh Tuan
Guru Nik Abdul Aziz atau Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang, dan Karpal
Sikh atau Lim Guan Eng pula yang mengomentarinya.
[4]
Sebelum
kita bercakap soal perlaksanaan, seharusnya kita menyedari bahawa
Malaysia adalah Negara demokrasi. Apabila rakyat secara majority mahukan
hudud, DAP tidak bersetuju pun terpaksa akur dengan kehendak rakyat.
ini kerana, parti mereka adalah parti demokrasi (Democtratic Action
Party).
Selagi rakyat tidak diusahakan faham secara menyeluruh,
dibimbangi perlaksanaan hudud tidak melahirkan kejayaan. Yang paling
bimbang, ia melahirkan kegagalan dan hudud itu pula lebih dibimbangi
dilihat buruk oleh rakyat.
Sesuatu perlaksanaan hudud, jangan
sekadar berfikir untuk tercapai impian sahaja, tetapi hendaklah
difikirkan kejayaan perlaksanaan itu tanpa melahirkan penolakan
merupakan mudharat yang lebih besar.
Hanya berfikir untuk
mencapai impian tanpa memikirkan kejayaan perlaksanaan yang baik
merupakan tindakan yang gopoh, sedangkan gopoh itu dibenci oleh Allah
SWT.
Sabda Nabi SAW, “Gopoh itu sebahagian dari Syaitan”.
Kaedah
fiqh ada menyebut, “barangsiapa yang bergopoh terhadap sesuatu sebelum
masa yang sesuai, ia akan diakibatkan pengharamannya”.
Jadi,
dalam hal ini, perlu diambil kira padang demokrasi dalam perlaksanaan
Islam. Iaitu, PAS perlu mengambil himpunan suara rakyat untuk
melaksanakan hudud. Ia bukan bermakna mendahulukan rakyat berbanding
keputusan Allah, tetapi ia bertujuan untuk mencapai kejayaan
perlaksanaan yang jitu, baik dan harmoni, tanpa melahirkan penolakan dan
pemburukan pada hukum Allah SWT itu.
Sekian
Wallahu ‘Alam
catatan email dari :
ustaz_bakistani@yahoo.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan