KUALA LUMPUR, 6 Dis — Datuk Seri Najib Razak perlu
menunjukkan bukti bahawa orang bukan Melayu cuba mahu meminda Perlembagaan
Persekutuan dan jika tidak, harus menguburkan sahaja gagasan 1 Malaysia, kata
Lim Guan Eng hari ini.
Setiausaha Agung DAP berkata, Najib selaku perdana
menteri dan presiden Umno telah mengejutkan seluruh negara apabila semalam
memainkan sentimen perkauman terhadap orang bukan Melayu dalam ucapannya pada
majlis Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).
Katanya, Najib harus menyelamatkan konsep 1 Malaysia dengan
membuat lima komitmen penting iaitu mendahulukan Malaysia sebelum kaum, rakyat
Malaysia berhak untuk menikmati hak asasi dan masyarakat sivil, peluang saksama
harus diberi kepada semua, keluhuran undang-undang di mana yang dipentingkan
adalah apa yang diketahui dan bukan siapa yang dikenali dan harus membina
masyarakat yang berintegriti dan cerdik untuk mencapai ekonomi pendapatan tinggi
dan berasaskan pengetahuan.
Semalam Najib berkata, orang Melayu tidak pernah
menjadi bangsa yang mengamalkan sikap perkauman malah sanggup berkongsi kuasa
dan adil kepada bangsa lain di negara ini.
Perdana Menteri berkata orang
Melayu sentiasa mengamalkan konsep wasatiyyah atau kesederhanaan dan sanggup
menghulurkan tangan kepada orang bukan Melayu untuk membina sebuah negara yang
aman, bersatupadu dan lebih makmur.
“Oleh itu jangan sekali-kali mereka
(orang bukan Melayu) mencuit perasaan orang-orang Melayu dengan hendak ubah apa
yang sudah termaktub dalam Perlembagaan dan apa yang sudah pun kita rundingkan
waktu Merdeka dahulu.
“Perkara-perkara ini kita akan pertahankan,”
katanya.
“Adakah dengan memainkan sentimen perkauman terhadap orang Melayu
dan melaungkan diri sebagai pembela bangsa itu memberi hak kepada Umno untuk
melibatkan diri dalam skandal RM250 juta ‘lembu dan kondo’ melalui syarikat
keluarga seorang menteri persekutuan Umno?” kata beliau dalam satu
kenyataan.
Lim juga berkata, adakah dengan memberi amaran kepada orang bukan
Melayu supaya tidak mencuit perasaan orang Melayu itu membolehkan skandal RM13
bilion Zon Bebas Pelabuhan Klang atau pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2010
tentang jabatan-jabatan kerajaan yang telah terlebih belanja sebanyak RM3.7
bilion?
“Masa sudah tiba untuk berjuang untuk aspirasi semua rakyat Malaysia
tanpa mengira bangsa atau agama. DAP menolak politik diskriminasi Umno yang
berkeras dengan konsep Melayu dahulu dan rakyat Malaysia kemudian.
“DAP juga
mengecam Umno dan sekutunya kerana melayan sesiapa sahaja yang tidak bersetuju
dengan ideologi perkaumannya sebagai pengkhianat dan musuh orang Melayu,”
katanya lagi.
Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, rakyat tidak
boleh membenarkan UMNO merampas Perlembagaan Persekutuan untuk memecahbelahkan
rakyat dengan perasaan permusuhan dan kebencian, dan juga untuk menjadikan
perjuangan untuk semua rakyat Malaysia sebagai satu tindakan yang
salah.
“Umno selalu memetik Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan untuk
mewajarkan agenda perkauman mereka. Namun demikian, Umno selalunya gagal
menyebut bahawa Artikel 153 juga mempertahankan kepentingan-kepentingan sah
komuniti-komuniti lain,” katanya lagi.
Mengenai Perkara 153 Perlembagaan
Persekutuan juga, kata Lim, menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong
memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera mana-mana negeri
Borneo dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan
artikel itu.
“Dalam erti kata lain, Perlembagaan Malaysia adalah berdasarkan
konsep ‘Malaysia dahulu’ dan bukan kemudian!” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan