Cantas: Menggagalkan Hal Yang Tidak Terjadi...Bagaimana?
(Dari Kedahkini)
oleh Muhammad Sanusi Md Nor,
Cantas: Hal yang tidak terjadi dikatakan
gagal?
Saya percaya dengan yakin Abg Mat tidak
terbabit, tidak berminat dan malah diselubungi kehairanan dengan isu cantas
mencantas beliau yang didakwa berlaku di Kedah, khususnya di Pendang. Ini
dimainkan oleh juak- juak yang ghairah dengan auranya dan sedikit gopoh dalam
usaha membawanya ke Pendang. Juak-juak yang tenggelam dengan kegopohan itu lupa
bahawa isu mereka itu telah memberikan imej negatif kepada Timbalan Presiden PAS
itu, kepada PAS, PAS Kedah dan PAS Pendang. Isu itu melahirkan budaya UMNO dalam
PAS - mengada-adakan cerita adanya cantas untuk mencantas! Adakah niat mereka
disebalik dakwaan itu adalah mencantas kepimpinan dan ahli PAS di Kedah?
Cantas dalam parti politik berlaku kepada
pimpinan setempat, penyandang atau yang sudah ditetapkan untuk berada di situ
atau pernah berada di situ. Cantas dilakukan supaya seseorang pemimpin tidak
dipilih sekali lagi, ataupun supaya tidak diberi peluang dipilih setelah adanya
keputusan atau arahan supaya di bertanding di sesuatu kawasan.
Cantas tidak boleh berlaku kepada orang di luar
tempat itu, tidak pernah berada di situ, bukan penyandang, atau hanya baru
dicadang di salah satu peringkat yang ada beberapa peringkat lagi. Cantas juga
tidak berlaku kepada orang yang ditolak. Cantas juga tidak berlaku kepada
pimpinan yang sengaja merebahkan dirinya atau berundur sukarela.
Cantas dan melobi adalah kembar tidak seiras
dalam politik sekular. Setelah usaha melobi dibuat, andainya dirasakan tidak
mencukupi, belum berupaya mendatangkan hasil yang diingini, kembar tidak
seirasnya akan digunakan. Kedua kembar ini juga boleh berjalan
seiring...seringkali berlaku begitu jika situasi sudah terdesak.
Mencantas dan melobi adalah budaya politik
UMNO/BN, budaya politik sekular. Ia tidak boleh dibiarkan berlaku dan menular
dalam PAS. Ini budaya politik bahaya. PAS mesti istiqamah dengan sikap menolak
bila diberi amanah/ jawatan, tetapi berhabis-habisan dan bermati-matian
melaksanakannya bila diberi tanggungjawab memikul amanah oleh jemaah. Meminta
jawatan adalah syarat pertama ketidaklayakan memegang jawatan dalam PAS.
Istiqamahlah dengan sikap dan amalan ini. Prinsip PAS dalam bab kepimpinan dan
amanah ialah "fastabiqul khairaat"... Ia tidak boleh berbuah dari benih dan baja
yang dicemari mufsiduun dan mutajassisiin yang memulakan amalan tuduh
menuduh.
Dalam kes yang dibangkitkan oleh Malaysiakini,
(http://www.malaysiakini.com/news/204683) istilah cantas telah digunakan dalam
setuasi dan senario yang salah! Orang yang membangkitkan kes itu kepada
Malaysiakini sengaja mereka reka cerita untuk memulakan cerita baru. Mengadakan
cerita cantas untuk memulakan proses mencantas. Kembar seiras tadi berjalan
seiringan tetapi seorang daripadanya berjalan mengundur. Adakah mereka tidak
dapat menyedari strategi itu tidak akan berkesan untuk mencapai hajat mereka,
sebaliknya boleh membawa rebah dan calar.
Seperti petikan dari sumber PAS Kedah dalam
artikel Abd Rahim Sabri di Malaysiakini, PAS Kedah tidak ada masalah dengan Abg
Mat, dia tidak ditolak. Tetapi bila sumber dalaman yang menjadi sumber utama
cerita itu telah mengadakan adakan cerita cantas, dia sebenarnya telah membuat
garisan calar pada imej, integriti dan ketokohan Abg Mat sebagai Timbalan
Presiden PAS. Mana boleh dia dicantas di Kedah di kala auranya begitu segar di
negeri ini. Ada yang mengenali PAS dan beristiqamah dengan kerja- kerja jemaah
atas teladan yang ditunjukkan oleh beliau.
Saya sendiri sebagai ahli PAS berpendapat Abg
Mat boleh bertanding di mana saja dia mahu, dia diarahkan dan diputuskan oleh
PAS Pusat. Datanglah ke Kedah atau ke mana negeri yang dia boleh menang kerana
suara dan kebolehannya sangat diperlukan dalam Parlimen. Datanglah atas
ketinggian harakinya dalam parti, dengan jalan yang lazim dan tersusun. Jangan
serahkan kerja -kerja perintis jalannya kepada penebas-penebang yang menimpakan
reba dan dahan kepada kebun sekitarnya untuk memacak pancang di kebun baru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan