DAP: 'Ngeh sudah minta maaf, tak akan kita nak hapus dia'
22 September 2012
Menurut Timbalan Pengerusinya, Dr Tan Seng Giaw, Koo Ham akan diberi nasihat dan diambil tindakan susulan yang wajar dan adil memandangkan pemimpin itu telah pun memohon maaf.
Seng Giaw berkata, permohonan maaf Koo Ham sendiri menggambarkan pemimpin DAP Perak itu mendengar nasihat yang diberikan parti.
“Kita sudah bagi nasihat pun sebelum ini supaya sentitif terhadap perkara yang berkaitan agama. Tapi jika perkara itu berlaku, seperti Ngeh (Koo Ham), kita akan fikirkan tindakan yang sewajarnya serta adil,” kata beliau kepada Sinar Harian Online pagi ini.Ahli Parlimen Kepong ini juga dilihat memberi gambaran agar semua pihak perlu bersikap terbuka untuk memaafkan Koo Ham dan tidak wajar terus meminta dikenakan tindakan tegas, sebagaimana didesak oleh Umno, kerana beliau telah pun meminta maaf kelmarin.
“Beliau pun sudah mohon maaf, apa lagi kita boleh buat, tak akan kita nak hapuskan dia pula, dan saya yakin Islam agama yang murah hati,” katanya.
Menurutnya, Koo Ham, yang juga Ahli Parlimen Beruas, akan terus diberi nasihat dan akan dikenakan tindakan sewajarnya atas keterlanjuran beliau mempertikaikan langkah umat Islam mengadakan bantahan menentang filem Innocence of Muslims ketika mesyuarat jawatankuasa eksekutif pusat minggu depan.
Semalam, ramai pihak mendesak DAP mengambil tindakan tegas terhadap Koo Ham termasuk melakukan siasatan.
Dalam pada itu, ada juga yang mengatakan permohonan maaf tidak cukup bagi membersihkan dirinya dan menggesa DAP memecat dari parti itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan segera berhubung laporan polis yang dibuat orang ramai yang membantah kenyataan Koo Ham.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Pengerusi Kelab Putera 1 Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim mendesak DAP mengambil tindakan tegas termasuk perlu dilucutkan kerana ucapan maaf yang diucapkan tidak mencukupi.
Azeez membuat desakan itu pada himpunan aman anjuran Pemuda Umno di Kampung Baru semalam.
Justeru, Seng Giaw berkata, DAP sentiasa mengambil kira semua perkara yang melibatkan sentiviti termasuk agama, kaum dan sebagainya.
Tambahnya, keterlanjuran Koo Ham dalam mengeluarkan kata-kata yang menghina agama lain memang tidak wajar, namun hukuman yang sepatutnya dikenakan adalah keatas pengeluar filem kontroversi tersebut.
“DAP sentiasa bertegas dengan perbuatan yang menghina agama, kaum orang lain, tapi orang perlu dihukum dan dipersalahkan sekarang adalah pembuat filem tersebut.
“Kita juga tidak suka agama orang lain dihina sebegitu rupa, dan sasaran kita yang tepat adalah pembuat filem itu," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan