CYBERJAYA - Gagasan Sejahtera secara rasminya mengumumkan 20 tawaran utama yang menjadi manifesto kepada rakyat menjelang PRU14.
Manifesto Malaysia Sejahtera itu diumumkan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika majlis Syarahan Perdana dan Pelancaran Manifesto Gagasan Sejahtera, sebentar tadi.
20 tawaran tersebut ialah:
1) Menghapuskan GST yang membebankan rakyat dan menggantikan dengan sistem percukaian lebih adil seperti Cukai Atas Simpanan Korporat dan Cukai Saham di Bursa Saham Malaysia.
2) Melupuskan hutang peminjam PTPTN yang sedia ada ada untuk meringankan bebanan anak muda sebagai satu inisiatif permulaan ke arah memberikan pendidikan percuma.
3) Memberikan bantuan makanan asasi kepada golongan fakir dan miskin secara bulanan menerusi program It’aam Kebangsaan.
4) Menawarkan bantuan one-off sebanyak RM2,000 sebagai modal kepada wanita berkerjaya untuk memulakan kerja dari rumah.
5) Melaksanakan program bas sekolah percuma untuk meringankan beban ibu bapa.
6) Bantuan pembelian kereta pertama bawah 1300 kuasa kuda menerusi pengecualian duti eksais dan pembiayaan pinjaman tanpa faedah (Qardul Hasan).
7) Mengurangkan harga rumah mampu milik antara RM50,000 hingga RM180,000.
8) Mengembalikan semula fungsi Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sebagai program memperkasa golongan miskin serta luar bandar.
9) Menstrukturkan semula kadar bayaran tol bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat menerusi semakan semula perjanjian konsesi tol melebihi 15 tahun.
10) Mewujudkan pentadbiran Malaysia yang bebas rasuah, selaras dengan kehendak dan tuntutan syarak menerusi konsep tadbir urus ‘Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan’ (UMI).
11) Memperkasakan peruntukan Islam sebagai agama persekutuan dengan melaksanakan tuntutan Islam sebagai al-Din iaitu sistem yang melengkapi seluruh aspek kehidupan.
12) Menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi semua mata pelajaran dalam sistem pendidikan negara.
13) Kembalikan sistem kuota di institut pengajian tinggi awam (IPTA) bagi mengimbangi jurang pendidikan antara golongan kaya dan miskin, masyarakat bandar serta luar bandar.
14) Pertimbangkan semula pelaksanaan dasar pembangunan yang berupaya membasmi kemiskinan dan menyusun semula ketidakseimbangan ekonomi dalam kalangan rakyat Malaysia.
15) Bantu kerajaan negeri membuka rancangan pembangunan tanah, khususnya untuk golongan muda.
16) Bangunkan penempatan baharu mampu milik untuk generasi kedua dan ketiga Felda.
17) Membantu golongan OKU menerusi pemerkasaan sistem sokongan berasaskan potensi dan keupayaan diri.
18) Mewujudkan Pusat Komuniti Keluarga Sejahtera (PKKS) di setiap daerah dan lokaliti yang memerlukan untuk memberi khidmat kaunseling, perundangan, kemahiran, bimbingan agama serta latihan keibubapaan.
19) Menyemak kembali nisbah anggota keselamatan berbanding populasi setempat untuk kurangkan kadar jenayah.
20) Menambah bilangan doktor pakar dan hospital pakar untuk memenuhi keperluan penduduk berasaskan nisbah disyorkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
#prusinar #aparakyatmahu
Dari Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan