Petikan dari Tranungkite |
Oleh Cinta Keamanan
Kerajaan PAS Terengganu tumbang dua kali, kali pertama pada tahun 1961, lepas berjaya menang PRU-2 tahun 1959, dan kali ke dua pada 2004. Tumbang kali kedua disumbangkan oleh banyak faktor, termasuk kemasukan pengundi baru yang luar biasa, gelombang biru UMNO, faktor Anwar yang kian menurun, kegelojohan pengikut dan pimpinan akar umbi dan tidak terkecuali kesilapan pemimpin.
Tumbang kali pertama itu perlu dikaji sejarahnya. PAS Pusat waktu itu di pimpin oleh Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Prof Zulkifli Mohamad.
PAS Terengganu dipimpin oleh Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah, anak Selangor yang menetap di Terengganu. Dia tidak boleh menjadi Menteri Besar kerana bukan anak Terangganu. Sultan Terengganu lalu memperkenankan ADUN Setiu Hj Mohamad Daud Abdul Samad menjadi Menteri Besar. Dalam keadaan itu di peringkat bawah wujud desakan kuat supaya Ustaz Azzam dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar. Dalam keadaan menghadapi tekanan itu, Speaker DUN beberapa kali mengugut untuk keluar parti dan YDP PAS Kuala Terengganu Utara Senator Tn Guru Abbas Mohamad keluar daripada PAS pada 22 Julai 1960.
Dalam masa yang sama perikatan terus berusaha membeli adun-adun PAS dan Parti Negara. Akhirnya walaupun seorang Adun Parti Negara menyertai PAS, tetapi 3 wakil rakyat mereka menyokong Perikatan. Dua Adun PAS diculik Perikatan (Kuala Terengganu Tengah dan Kuala Besut) menyebabkan kerajaan PAS tersungkur melalui undi tidak percaya di DUN.
Inilah kemelut yang melanda kerajaan pimpinan PAS yang berdiri dengan kelebihan kerusi tipis dalam umur setahun jagung. Keadaan waktu itu menjadi tidak stabil dan tidak tenang. Politik memerlukan faktor itu. Kedah waktu ini dengan Terengganu tahun 1961 tidak jauh bezanya dari segi bilangan kerusi dan pola parti, tetapi kemelut di Kedah berlaku di saat ahli dan pimpinan sudah diasuh dengan tarbiyah dan disiplin parti selama 60 tahun. Pada 1961, PAS baru berusia 8 tahun dengan susunan parti yang belum mantap seperti sekarang. Pihak yang membuat honar saat ini lebih jahil dan gelojoh politik berbanding pimpinan PAS Terengganu pada 1961.
Selepas krisis yang membawa PAS tersungkur itu, PAS hanya menang semula selepas 30 tahun, tempoh itu menyamai separuh daripada umur PAS. Sepenggal sahaja berkuasa, PAS tumbang lagi. Ini juga disumbangkan sikap gelojoh dan ghaplah pimpinan pertengahan dan akar umbi yang mendesak perubahan besar dibuat secara tergesa- gesa. Tanpa mengukur kekuatan diri dan keupayaan musuh, tanpa berusaha memujuk dan mengambil hati pengundi teramai serta melembutkan pihak lawan, pengundi yang berubah pada 1999 untuk mencuba kepimpinan baru (parti selain BN) ternyata kecewa dan berpatah balik. Antara mereka ada yang kecewa teramat sangat hanya kerana kes bangunan sekolah tadika kemas di arah pindah. Bagi pihak PAS, itu adalah makna menjadi kerajaan negeri yang memiliki kuasa untuk bertempur dengan kerajaan pusat untuk menekan musuh politik. Bagi orang biasa, itu adalah tindakan yang tidak dapat diterima.
PAS menjadi kerajaan memerintah rakyat dengan pelbagai latar belakang dan pendirian. Di Kedah sendiri, ahli PAS yang akan patuh dan mendokong perjuangan PAS hanya sekitar 140 ribu orang. Rakyat Kedah kini berjumlah 2.1 juta, separuh daripadanya adalah pengundi. Bagaimana pendirian dan matlamat yang dikongsi oleh 140 ribu orang dapat difahami dan diterima oleh orang lain dalam sekelip mata? Apatah lagi penyokong dan ahli parti lawan daripada UMNO, MCA, MIC, PPP, IPF, Gerakan dan orang tidak berparti?
Pada pemerhatian saya, Ustaz Azizan mempunyai kualiti dan strategi sebagai pemimpin yang berupaya menangani senario ini dengan baik. Dia disenangi kawan dan lawan. Rakyat Kedah berlainan parti politik, tetapi mengakui beliau adalah Menteri Besar mereka. Kepimpinannya tiada rasuah dan telus. Dia boleh pergi berbincang dan mendengar pandangan dari sesiapa saja, termasuk musuh politiknya. Inilah yang melemahkan penentangan. Dia berjaya selama hampir 3 tahun 11 bulan dengan strategi ini.
Tiba-tiba kecemerlangan dan wawasanya tidak dapat dikesan, dirasai,dihargai dan dibantu oleh pimpinan no 2 dan 3 dalam partinya sendiri.ini di tambah lagi dengan ceteknya pengetahuan segelintir ulamak' yang sepatutnya menggendong bebanan ini bersamanya, bertindak sebaliknya. Mereka menjadi musta'jilun dan memberontak. Ustaz Azizan gagal ditewaskan digelanggang, malah digeruni musuh dan seteru tetapi dilemahkan di dalam rumahnya sendiri. Inilah yang tidak pernah terlintas di fikiran pemain-pemain politik di seluruh negara. Mereka seperti ahli dan penyokong di bawah kini sedang terpinga-pinga dengan sikap yang ditunjukkan oleh nombor dua dan tiga di Kedah. sungguh bersimpati dengan beliau. Wawasannya gagal difahami oleh orang partinya sendiri walaupun di luar musuh semua bimbang dan mati kutu dengan keupayaannya. kasihan Ustaz Azizan!
Akibat tindakan dua tiga kerat yang bernafsu besar itulah, Azizan yang sebelum ini bagaikan general dengan ketumbukan tentera lengkap dengan segala peralatan dan strategi untuk menghadapi perang PRU13, kini nampak kemereh dan diperlekehkan. Batang tubuhnya yang mewakli imej PAS Kedah kini dilondehkan oleh pengikut dan orang kanan beliau sendiri. Sesetengah orang berkata, kalau kalah dalam PRU13, orang yang patut memikul kutukan dan cemuhan orang ialah kaum musta'jilun ini, bukan lagi Azizan. Kalau aku menjadi pendokong akar umbi PAS, aku akan kutuk kamu tujuh keturunan!
JANGAN MASUK PAS JIKA CINTA DUNIA,JANGAN PANGGIL ANDA PEJUANG ISLAM JIKA ANDA NAK MANUSIA PUJI ANDA,ANDA JANGAN PERASAN ANDA MACAM ULAMAK KALAU PERJUANGAN ANDA SETAKAT SERBAN,JUBAH DAN KOPIAH ,PAS BUKAN UNTUK ORANG BURU DUNIA TETAPI PAS ADALAH UNTUK ORG BURU AQIRAT,HIDUP MULIA ATAU MATI SYAHID,MATI BERIMAN,HIDUP BERMARUAH,MINTA AMPUN KEPADA ALLAH TAALA JIKA ADA BUAT DOSA TAPI JANGAN PUTUS ASA DENGAN ALLAH TAALA . - ALMARHUM UST FAZIL NOOR
Tiada ulasan:
Catat Ulasan