TG Abdul Hadi Awang, | 05 Nov 2012 |
Republik Arab Syria (selepas ini ditulis Syria) adalah termasuk dari kalangan negara Arab di Asia Barat, bersempadankan Lubnan dan Laut Mediterranean di sebelah barat, Turki di utara, Iraq di timur, Jordan di selatan dan negara haram Israel di sebelah barat dayanya. Syria adalah termasuk di kalangan negara Arab yang turut menerima arus perubahan kebangkitan rakyat.
Umum menyangkakan bahawa sepatutnya perubahan akan lebih mudah berlaku di Syria berbanding negara lain kerana rakyat majoriti besarnya iaitu 74% adalah muslim-sunni manakala kerajaannya pula dikuasai oleh golongan minoriti Alawi (lebih kurang 3 % – 4 %) berideologikan sosialis Parti Ba’ath paling kiri di kalangan negara Arab.
Dari segi hubungan dengan negara jirannya, terdapat tanda-tanda sejak awal yang menunjukkan adanya hubungan sulit antara Syria sendiri dengan negara Barat dan negara haram Israel, walau pun secara zahir sikapnya menunjukkan keras terhadap mereka khususnya Israel. Namun yang nyata ialah sejak awal sehingga kini, Syria tidak menjadi sasaran serangan terbuka daripada Israel seperti yang dialami oleh Lubnan, Iraq dan Sudan.
Sebenarnya sudah terang lagi bersuluh, bahawa adanya kerjasama melalui beberapa tindakan membantu pihak Barat apabila menghalang dengan keras terhadap pengaruh politik Islam yang menjadi ancaman terbuka kepada Israel dan Barat, disamping Syria mendapat dukungan kuasa besar Rusia dan China.
Kebangkitan rakyat berlaku sejak awal 80-an yang dipimpin oleh gerakan Islam Ikhwan Muslimin. Pada ketika itu, Bandar Hama yang paling kuat pengaruh Islam menjadi mangsa kekejaman. Puluhan ribu rakyat menjadi korban mangsa kezaliman kerajaan Parti Ba’ath Alawi pimpinan Presiden Hafez al-Assad (1970 – 2000). Media tidak membuat liputan, manakala negara Arab lain dan jirannya diam membisu. Maklumat hanya melalui berita kecil dalam ruang yang sempit. Majoriti rakyat bermazhab Sunni bernaung dan berpijak di atas bara yang membakar. Kalangan ulama yang berani dan pemimpin anti kerajaan terpaksa menjadi mangsa dipenjara, ada dibunuh dan ada yang hidup dalam buangan di luar negara. Hanya kalangan yang menyembunyikan diri atau membisu boleh menyelamatkan diri. Adapun kalangan pengampu mendapat liputan yang sebaik-baiknya dan diletak ditempat penting dalam urusan agama Islam untuk menjadi topeng melindungi kesesatan dan kezalimannya.
Mantan diplomat Amerika yang menulis makalah mengenai Fundamentalisme di Asia Barat sejak dua puluh tahun lalu, mendedahkan pengetahuan Barat yang mendukung demokrasi dan hak asasi manusia, bahawa mereka tahu dan faham kedudukan di Syria. Pihak Barat menyedari bahawa kerajaan minoriti Alawi Parti Ba’ath menguasai majoriti golongan Sunni yang kuat beragama dan betapa Hafez al-Assad dan anaknya berlakon sembahyang dan berbagai ibadat yang tidak ada dalam ajaran Alawi, demi menghalang kumpulan Islam yang menjadi ancaman paling bahaya kepada Israel dan kepentingan Barat.
Dalam senario sebegini, Bashar al-Assad pula bermain politik talam banyak muka, apabila dari satu sudut dilihat membenarkan para pejuang Palestin daripada Hamas dan Jihad, membenarkan Syria menjadi laluan bantuan pihak tertentu kepada Palestin dan Hezbollah dengan bebas, bahkan diberi kemudahan membuka pejabat, pusat latihan dan kemudahan yang lain; manakala di satu sudut yang lain mempunyai hubungan sulit dengan Barat dan Negara haram Israel. Adapun seluruh negara Arab yang lain tidak memberi tempat dan peluang sepertinya. Sebaliknya pula Bashar al-Assad mengharamkan kumpulan Islam yang sama sekiranya terdiri daripada rakyat Syria sendiri.
Kebangkitan rakyat yang berwajah Islam, secara demonstrasi aman pada awalnya mendapat sambutan rakyat. Tiba-tiba mendapat perhatian dunia luar khususnya negara Barat yang ada kepentingan masing-masing dan Israel, sama ada pergantungan sumber tenaga petrol dan gas, atau pergantungan dengan negara Zionis yang berpengkalankan di negara haram Israel. Dua perkara yang dianggap rukun hidup kepada barat : Minyak dan Israel.
Setiap pengamat politik yang insaf wajib melihat kepada aspek yang penting tersebut, sebelum menentukan sikap yang adil dan istiqamah. Parti Islam SeMalaysia (PAS) bersama parti-parti Islam di negara lain mengadakan wacana khas bagi menangani isu ini.
Kami berpendapat bahawa Regim Bashar wajib diturunkan oleh rakyat Syria dan digantikan dengan kumpulan Islam tulen dengan proses demokrasi yang sebenarnya dan adil. Campur tangan asing hendaklah ditentang habis-habisan. Kerajaan Islam Iran juga hendaklah menarik sokongannya terhadap regim yang zalim itu, demi menjaga maruah negara itu kepada umat Islam. Negara-negara Arab dan berjiran seperti Turki pula jangan menjadi hamba kepada negara Barat yang menjaga keselamatan Israel, minyak dan gas, dan bukannya ikhlas terhadap rakyat Syria yang dizalimi. Barat bukan sahaja dilihat bahkan terus bertindak dengan menunjukkan usaha mereka yang jelas untuk mencari pemimpin pro Barat yang lebih menjaga kepentingan mereka selain daripada Bashar, dan bukannya melihat kepada kepentingan 74% umat Islam di Syria. Selagi pemimpin yang dikehendaki oleh pihak Barat ini tidak berhasil, maka Bashar akan terus dikekalkan, kerana mereka berpendapat bahawa kedudukannya lebih baik di kalangan yang zalim itu daripada yang lain.
Negara Arab, Turki dan Iran pula sepatutnya bersatu menghadapi negara haram Israel, bukannya berkhilaf dalam isu Syria sehingga terperangkap dengan agenda musuh timur dan barat. Semua pihak perlu kembali kepada sejarah secara ikhlas, meninggalkan kepentingan mazhab, fanatik perkauman dan kerusi singgahsana masing-masing. Ingatlah bahawa semua negara besar itu turut terlibat dalam penubuhan negara haram Israel tahun 1948, dan masih terus mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel sehingga kini. Mereka jugalah yang terus membuat desakan supaya negara Arab dan Islam untuk menerima Penyelesaian Two State Solution, antaranya menerusi Persidangan Annapolis pada November 2007; yang membahagiakan dua negara iaitu satu untuk Zionis dan satu untuk Arab Palestin (satu pembahagian yang zalim dan khianat).
Sekiranya negara-negara Arab, Iran dan Turki saling menyatukan sumber tenaga manusia, sumber semula jadi di perut bumi dan teknologi yang sudah mencapai kemampuan menghadapi cabaran, maka sudah tentu ancaman negara haram Israel ini dapat diatasi.
Hingga kini kita masih terus menunggu setakat mana pencapaian Resolusi Makkah daripada sidang kemuncak OIC yang berlangsung pada bulan Ramadan lalu. Penyelesaian sebenar hanya akan dicapai apabila OIC dibebaskan dari berkiblat ke arah kuasa asing dan mula berkiblatkan Kaabah di Makkah. Perhatikan sehingga mana usaha penemuan susulan OIC di kalangan empat negara penting terdekat dengan masalah yang sedang berlaku iaitu : Mesir, Turki, Arab Saudi dan Iran. Atau adakah Syria akan atau sedang turut menjadi medan ujian senjata kuasa barat dan timur, di mana negara-negara jiran menjadi pengkalan bekalannya, dibayar pula dengan duit dan minyak Arab, akhirnya yang kalah menjadi abu dan yang menang menjadi arang.
Penyelesaiannya ialah memperkasakan OIC, supaya benar- benar mewakili umat Islam. Syria adalah medan paling sesuai supaya dipulangkan hak kepada rakyat dengan pilihanraya adil secara langsung di bawah kendalian OIC. Pemimpin negara menjadi ujian sama-sama beramanah atau bersedia jadi pengkhianat dan menerima hukum Allah Yang Maha Adil.
Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan