Jumaat, 30 Ogos 2013

Ibu Lina Joy terus berdoa mohon anak kembali Islam August 18, 2013

Posted by membelaislam in Kes Azlina Jailani (Lina Joy)
trackback


Ibu Lina Joy terus berdoa
KUALA LUMPUR 17 Ogos (Malaysia Malaysia) – Ibu kepada Azlina Jailani atau Lina Joy, wanita Melayu yang mengaku murtad, tidak pernah berhenti berdoa agar anaknya kembali ke pangkuan agama Islam.
Wanita berkenaan, Kalthum Omar tetap bersabar dengan dugaan yang menimpa keluarganya biarpun dirinya dalam keadaan tua dimamah usia dan terpaksa berkerusi roda.
Menurutnya, sejak keputusan kes mahkamah pada tahun 2007, dia tidak lagi bertemu dengan anak perempuannya yang meninggalkan negara untuk berada di Australia.
“Sedih memang sedih tetapi saya tidak berhenti berdoa agar dia kembali kepada agama Islam dan balik kepada keluarga,” katanya dalam program Wacana Agenda Kristian Sedunia: Rujukan Khas Malaysia di sini hari ini.
Program itu merupakan anjuran bersama Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) dan Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM).
Lina Joy pernah menggegarkan negara kerana pengakuan murtadnya, namun dia gagal dalam usahanya untuk menggugurkan perkataan ‘Islam’ daripada MyKad setelah penghakiman Mahkamah Persekutuan pada tahun 2007.
Menurut Kalthum, dia langsung tidak menyangka perhubungan anaknya dengan seorang lelaki bukan Islam telah membawa kepada murtad.
“Dia ada telefon saya dua hari sebelumAidilfitri (baru-baru ini) tetapi dia tetap macam itu juga (masih murtad),” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pembela, Dr. Yusri Mohamad berkata, kemuliaan agama Islam perlu dipertahankan dengan ketegasan di negara ini.
“Memang kita sedih bila mendengar mengenai keluarga Puan Kalthum tetapi kalau kita berlembut dan tidak pertahankan Islam, ia akan buka pintu masalah kepada keluarga-keluarga lain,” katanya.
Dalam pada itu, Yusri turut menyeru kepada umat Islam di negara ini agar memberi tumpuan serius terhadap perbicaraan isu kalimah Allah di Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada 22 Ogos ini.
“Implikasi amat besar sekiranya kalimah Allah dibenarkan penggunaan oleh bukan Islam. Mari kita berdoa untuk kemenangan kes ini dan beramai-ramai beri sokongan kepada barisan peguam di Mahkamah Putrajaya pada Khamis ini,” katanya.
Terdahulu, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar memberi taklimat mengenai perkembangan perbicaraan kes itu.
Bulan lalu, Mahkamah Rayuan menetapkan 22 Ogos ini untuk mendengar permohonan Titular Roman Catholic Archibishop of Kuala Lumpur bagi membatalkan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan sebuah akhbar mingguan Katholik The Herald menggunakan kalimah Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan