• Bekas tentera mahu tapak rumahLAHOD
 1 / 1 
BOTA - Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Bota menggesa supaya masalah perumahan untuk bekas tentera segera diselesaikan kerana perkara itu berlarutan terlalu lama.


Ahli PBTM Cawangan Bota, Zainudin Yahya, 57, berkata, sebagai bekas tentera yang pernah berjuang untuk negara mereka amat berharap janji kerajaan untuk memberikan tanah kepada mereka ditunaikan.

Menurutnya, projek perumahan Perwira yang dikatakan untuk bekas tentera dan polis dilancarkan sebelum ini namun sehingga kini tiada khabar berita mengenainya.

“Kami tidak mengharapkan rumah dibina kerana kami tidak mampu untuk membayarnya tetapi kami mahu diberi tapak rumah dengan bayaran premium berpatutan,” katanya.

Bekas tentera, Lahod Amin, 58, berkata, dia menghidap penyakit jantung dan kerjanya tidak menentu.

“Pendapatan diterima hanya cukup menyara keluarga dan bukan untuk membayar rumah yang harganya ratusan ribu ringgit,” katanya.

Salem Ali, 50, pula berkata, dia kesal kerana projek perumahan Perwira yang dilancarkan sebelum ini senyap begitu sahaja.

"Kebanyakan bekas tentera lanjut usia dan uzur. Kami amat berharap permintaan kami dipertimbangkan oleh kerajaan supaya nasib bekas tentera terbela,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PBTM Cawangan Bota, Kapten (B) Usaili Alias berkata, sebanyak 470 tawaran dikeluarkan untuk projek perumahan Perwira.

“Bagaimanapun, ia terhenti setakat itu sahaja dan sehingga kini masih tiada sebarang perkhabaran.

“Kami amat mengharapkan supaya perkara ini diteruskan dan bekas tentera serta polis diberikan pilihan untuk memiliki rumah atau tapak rumah mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.